Sunday, July 31, 2011

SELAMAT MENYAMBUT RAMADHAN AL-MUBARAK

Jawatankuasa Pembinaan Surau Vila Suria mengucapkan Selamat Menjalani Ibadah Puasa kepada semua penduduk yang beriman.

Moga-moga segala pahala amal ibadah yang kita lakukan di bulan ini dilipatgandakan oleh-Nya.

Muslimin dan muslimat sekalian,

Berbeza dengan tahun-tahun sebelumnya, tahun ini merupakan tahun yang bermakna kerana kita akan mendirikan solat Terawih di surau kita sendiri.

Di samping itu tazkirah terawih juga bakal disampaikan oleh para Ustaz sebagai pesanan buat kita yang sentiasa lalai. Insya Allah.

Justeru datanglah beramai-ramai ke surau.

Surau kita tanggungjawab kita.

Sunday, July 24, 2011

Kepada penduduk Vila Suria yang budiman dan dermawan....


Muslimin dan muslimat sekalian,

Jawatankuasa Pembinaan Surau Vila Suria sedang mengumpul dana untuk membina ruang solat untuk kaum wanita dengan keluasan 16 x 16 kaki, di kiri surau sementara.

Anggaran kos yang diperlukan ialah RM 2000.00.

Justeru surat memohon derma akan diedarkan kepada seluruh penduduk Vila Suria secepat yang mungkin.

Segala kerjasama yang bakal diberikan, kami dahului dengan jazakallah.

Sekian wassalam.

Monday, July 18, 2011

Menanti Ramadhan

"Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa".(Al-Baqarah 183)

Huraian ayat

“Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa….”

Ayat ini turun pada bulan Syaaban tahun kedua hijrah bersamaan 624 M. Ia merupakan perintah wajib daripada Allah SWT kepada orang-orang yang beriman. Mengingkari kefardhuan puasa hukumnya adalah murtad.

Firman Allah SWT,

“……sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu….”

Kalau dirujuk kepada sejarah ibada puasa, ia sebenarnya sudah diamalkan oleh umat-umat terdahulu. Sebagai contoh Nabi Nuh as berpuasa sepanjang tahun. Nabi Daud a.s pula berpuasa sehari dan berbuka sehari. Manakala Nabi Isa a.s berpuasa sehari dan berbuka satu atau dua hari.

Dalam sebuah riwayat menjelaskan bahawa umat Yahudi berpuasa pada setiap tanggal 10 Muharram, sebagai tanda bersyukur kepada Allah kerana telah menyelamatkan Nabi Musa a.s dari kezaliman Firaun. Berdasaarkan itu, Nabi SAW turut menggalakkan umatnya supaya berpuasa pada tanggal 9 dan 10 Muharram yang dikenal dengan puasa hari Asyura.

Firman-Nya di akhir ayat 183,

“……supaya kamu bertaqwa….”.

Dalam ayat ini Allah SWT menjelaskan hikmah puasa ialah taqwa. Nabi saw pernah bertanya kepada Abu Hurairah : “ Pernahkah engkau bertemu jalan yang berduri dan bagaimana tindakan engkau pada ketika itu ?” Jawab Abu Hurairah, “Apabila aku melihat duri. Aku akan menghindarkan diri ke tempat yang tidak berduri atau aku langkahi duri tersebut, atau aku undur”. Rasulullah pun bersabda :”Itulah dia taqwa”.

Dengan kata lain orang yang bertaqwa ialah mereka yang menyedari dan beringat dengan kehadiran Allah SWT pada dirinya sama ada ketika jaga mahupun tidur.

Wallahualam.