Friday, September 2, 2011

Tazkirah Syawal

Muslimin dan muslimat sekalian,

Bulan Ramadhan telah pun berlalu. Adalah lumrah bagi para sahabat Rasulullah saw serta mukmin yang hakiki, mereka akan menyambut bulan Ramadhan dengan hati yang syukur serta melepaskannya dengan hati yang sayu dan sedih, penuh rasa bersalah serta bimbang jika tidak sempat menemui bulan Ramadhan pada tahun yang berikutnya.

Mereka khuatir jika segala ibadah yang mereka lakukan di bulan Ramadhan masih gagal menebus dosa-dosa mereka yang lalu, pendekata gagal mendapat keampunan daripada Allah SWT. Dalam hal ini Rasulullah saw,

ويل لمن أدرك رمضان فلم يغفر له

Maksudnya : Neraka Waillah, bagi mereka yang berkesempatan di bulan Ramadhan sedangkan dia tidak mendapat keampunan daripada Allah SWT.

Manakala bagi orang mukmin yang hatinya berpenyakit, mereka akan menyambut bulan Ramadhan dengan hati yang kecewa, kecewa kerana terpaksa meninggalkan nikmat makan dan minum serta syahwat, kecewa kerana terpaksa berpuasa selama sebulan, pendekata puasa bagi mereka tidak mempunyai apa-apa erti bahkan dianggap sebagai satu bulan penyeksaan, justeru mereka tidak sabar-sabar menanti kedatangan Syawal, apabila Syawal menjelma mereka akan gembira dan seronok, kerana segala bentuk penyeksaan yang mereka lalui selama sebulan telah pun berakhir.

Golongan yang berpuasa kerana terpaksa inilah yang disebut oleh Rasulullah saw,

كم من صائم ليس له من صيامه الا الجوع والعطس

Maksudnya : Berapa ramai orang yang berpuasa, tetapi tidak mendapat apa-apa daripada ibadah puasanya melainkan hanyalah lapar dan dahaga.

Muslimin dan muslimat sekalian,

Hidupkanlah suasana Hari Raya ini dengan amalan ziarah menziarahi sesama Islam, bermula menziarahi ibu bapa serta orang-orang yang lebih tua di kalangan keluarga kita, diikuti dengan kaum kerabat, sanak saudara, jiran-jiran serta sahabat handai. Malah disebut dalam sepotong hadis sahih bahawa amalan ziarah menziarahi ini akan membawa keberkatan dalam hidup serta memanjangkan umur. Nabi saw bersabda,

“Barangsiapa yang mahu rezekinya bertambah, usianya dipanjangkan maka hendaklah dia menghubungi rahimnya .”

Bagi mereka yang sudah kematian ayah dan ibu, ziarahilah kaum kerabat mereka, baik di sebelah arwah ayah mahupun di sebelah arwah ibu, dan juga ziarahilah sahabat handai mereka kerana Rasulullah saw pernah ditanya oleh seorang sahabat, bagaimanakah mahu membuat kebaikan kepada ibubapa yang telah meninggal dunia ya Rasulullah ? Jawab baginda, Hendaklah kamu memperbanyakkan doa dan istighfar untuk mereka, tunaikan wasiat mereka, hubungkan silaturrahim dengan orang-orang yang tidak sampai hubungan kamu dengan mereka melainkan dengan perantaraan ibubapa kamu dan muliakanlah sahabat handai mereka yang masih hidup.

Dalam kita ziarah menziarahi, berhati-hatilah ketika membawa kenderaan. Janganlah tergesa-gesa mahu segera sampai, kerana sifat tergesa-gesa itu adalah daripada syaitan. Ingatlah Allah ketika memandu, ingatlah isteri dan anak-anak, ingatlah orang yang tersayang di kalangan ibu bapa dan saudara mara, sesungguhnya nyawa kita amat berharga di sisi orang yang tersayang.

Eid Mubarak ! dari Jawatankuasa Pembinaan surau Vila Suria.

Wallahualam.