Saturday, November 26, 2011

Salam Maal Hijrah 1433

Jawatankuasa Pembinaan Surau Vila Suria mengucapakan Selamat Menyambut Tahu Baru Hijrah 1433.

Mudah-mudahan tahun baru ini memberi keberkatan, kesentosaan dan kebahagiaan buat kita semua.

Insya Allah.

Thursday, November 17, 2011

Takziah buat En. Zafinal Azma dan isteri

Jawatankuasa Pembinaan Surau Vila Suria mengucapkan takziah kepada En. Zafinal Azma dan isterinya Pn. Azlina (No 619) di atas kematian putera sulongnya yang berusia 4 tahun hari ini.

“Ya Allah.., jadikanlah kanak-kanak yang mati ini sebagai suatu pendahuluan, sebagai simpanan pahala, sebagai suatu penasihat dan sebagai pengajaran serta pertolongan bagi kedua-dua ibubapanya. Ya Allah beratkanlah timbangan pahala untuk mereka berdua dengan sebab kematiannya. Curahkanlah rasa kesabaran, janganlah Engkau rosakkan iman mereka kerana ketiadaannya dan janganlah Engkau sekatkan ganjaran pahala buat mereka selama-lamanya …Amiinnn”

Monday, November 7, 2011

Ibadah korban mengeratkan ukhwah

Gotong royong ibadah korban

Jamuan tengah hari berlaukkan daging korban

Alhamdulillah,hari ini ibadah korban telah berjaya dilaksanakan dengan jayanya di Vila Suria.

Jawatankuasa Pembinaan Surau Vila Suria ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam gotong royong melapah, menyiang, mengagih daging dan juga memasak.

Setiap sumbangan yang tuan puan berikan sama ada keringat, wang ringgit dan masa hanya Allah SWT sahaja yang layak membalasnya.

Terima kasih juga kepada ‘Pak Chad’, jemaah surau Hidayah Bandar Warisan Puteri kerana sudi memberi sedikit tunjuk ajar tentang proses ‘mengulit’ dan mengeluarkan perut.

Sesungguhnya ibadah korban ini telah berjaya memupuk ukhwah sesama jiran.

Syukur.

Wednesday, October 26, 2011

Lembu yang bakal dikorbankan di Vila Suria

Lembu pertama untuk Vila Suria

Lembu kedua untuk Vila Suria

Harga kami ialah RM 2500.00 seekor, termasuk transport.Insya Allah, nanti kami akan sampai di Vila Suria pada 6hb November 2011 selepas Asar.

Jangan lupa sediakan rumput untuk kami....

Thursday, October 20, 2011

Program Hari Raya Korban 1432 H

Assalamualaikum wrm wbh,

Muslimin dan muslimat para penduduk yang dihormati sekalian,

Jawatankuasa Pembinaan Surau Vila Suria yang bermesyuarat baru-baru ini telah merancang untuk mengadakan aktiviti Hari Raya Korban seperti butiran berikut :

1. Takbir Raya

Takbir raya akan diadakan selepas solat Isyak diikuti dengan tahlil serta sedikit jamuan. Kami mengalu-alukan sumbangan makanan dari penduduk.

2. Solat Hari Raya Aidil Adha

Solat Hari Raya Aidil Adha akan diadakan di surau pada jam 8.30 pagi. Semua penduduk dijemput hadir beramai-ramai.

3. Program Korban

Insya Allah tahun ini sembelihan korban akan diadakan pada Hari Raya kedua bermula jam 7.00 pagi.Sebanyak 2 ekor lembu bakal disembelih. Tuan-tuan dijemput hadir untuk membantu apa-apa yang patut. Berat sama di pikul, ringan sama dijinjing.

Bagi melancarkan majlis satu gotong royong akan diadakan pada hari Ahad, 30 Oktober 2011 masa 8.30 pagi.

Surat makluman akan diedarkan tidak berapa lagi.

Sekian, wassalam.

Saturday, October 8, 2011

Pengumuman - Ibadah Korban di Vila Suria


Jawatankuasa Pembinaan Surau Vila Suria mempelawa penduduk Taman dan sekitar untuk menyertai ibadah korban sempena Hari Raya Aidil Adha yang bakal menjelang.

Harga satu bahagian ialah RM380.00. (Jika ada perubahan akan dimaklumkan)

Jika berminat sila hubungi Ybhg Ustaz Haji Azzahar : 0193322677 atau Ust Hishamuddin 019 6404133 selewat-lewatnya hari Khamis 13 hb Oktober 2011.

Harap maklum.

Friday, September 2, 2011

Tazkirah Syawal

Muslimin dan muslimat sekalian,

Bulan Ramadhan telah pun berlalu. Adalah lumrah bagi para sahabat Rasulullah saw serta mukmin yang hakiki, mereka akan menyambut bulan Ramadhan dengan hati yang syukur serta melepaskannya dengan hati yang sayu dan sedih, penuh rasa bersalah serta bimbang jika tidak sempat menemui bulan Ramadhan pada tahun yang berikutnya.

Mereka khuatir jika segala ibadah yang mereka lakukan di bulan Ramadhan masih gagal menebus dosa-dosa mereka yang lalu, pendekata gagal mendapat keampunan daripada Allah SWT. Dalam hal ini Rasulullah saw,

ويل لمن أدرك رمضان فلم يغفر له

Maksudnya : Neraka Waillah, bagi mereka yang berkesempatan di bulan Ramadhan sedangkan dia tidak mendapat keampunan daripada Allah SWT.

Manakala bagi orang mukmin yang hatinya berpenyakit, mereka akan menyambut bulan Ramadhan dengan hati yang kecewa, kecewa kerana terpaksa meninggalkan nikmat makan dan minum serta syahwat, kecewa kerana terpaksa berpuasa selama sebulan, pendekata puasa bagi mereka tidak mempunyai apa-apa erti bahkan dianggap sebagai satu bulan penyeksaan, justeru mereka tidak sabar-sabar menanti kedatangan Syawal, apabila Syawal menjelma mereka akan gembira dan seronok, kerana segala bentuk penyeksaan yang mereka lalui selama sebulan telah pun berakhir.

Golongan yang berpuasa kerana terpaksa inilah yang disebut oleh Rasulullah saw,

كم من صائم ليس له من صيامه الا الجوع والعطس

Maksudnya : Berapa ramai orang yang berpuasa, tetapi tidak mendapat apa-apa daripada ibadah puasanya melainkan hanyalah lapar dan dahaga.

Muslimin dan muslimat sekalian,

Hidupkanlah suasana Hari Raya ini dengan amalan ziarah menziarahi sesama Islam, bermula menziarahi ibu bapa serta orang-orang yang lebih tua di kalangan keluarga kita, diikuti dengan kaum kerabat, sanak saudara, jiran-jiran serta sahabat handai. Malah disebut dalam sepotong hadis sahih bahawa amalan ziarah menziarahi ini akan membawa keberkatan dalam hidup serta memanjangkan umur. Nabi saw bersabda,

“Barangsiapa yang mahu rezekinya bertambah, usianya dipanjangkan maka hendaklah dia menghubungi rahimnya .”

Bagi mereka yang sudah kematian ayah dan ibu, ziarahilah kaum kerabat mereka, baik di sebelah arwah ayah mahupun di sebelah arwah ibu, dan juga ziarahilah sahabat handai mereka kerana Rasulullah saw pernah ditanya oleh seorang sahabat, bagaimanakah mahu membuat kebaikan kepada ibubapa yang telah meninggal dunia ya Rasulullah ? Jawab baginda, Hendaklah kamu memperbanyakkan doa dan istighfar untuk mereka, tunaikan wasiat mereka, hubungkan silaturrahim dengan orang-orang yang tidak sampai hubungan kamu dengan mereka melainkan dengan perantaraan ibubapa kamu dan muliakanlah sahabat handai mereka yang masih hidup.

Dalam kita ziarah menziarahi, berhati-hatilah ketika membawa kenderaan. Janganlah tergesa-gesa mahu segera sampai, kerana sifat tergesa-gesa itu adalah daripada syaitan. Ingatlah Allah ketika memandu, ingatlah isteri dan anak-anak, ingatlah orang yang tersayang di kalangan ibu bapa dan saudara mara, sesungguhnya nyawa kita amat berharga di sisi orang yang tersayang.

Eid Mubarak ! dari Jawatankuasa Pembinaan surau Vila Suria.

Wallahualam.


Friday, August 12, 2011

Dedikasi buat Imam-Imam, Bilal dan jemaah surau Vila Suria

Sudah 12 hari umat Islam berpuasa dan 13 malam menunaikan solat sunat Terawih.

Di kesempatan ini Jawatankuasa Pembinaan Surau Vila Suria ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua Imam di Vila Suria (Ust Fadli, PM Halim Ramli, Ust Haji Azzahar, Dr Maimon, Ust Zainal, Ust Radzi, Ust Yusri dan Ust Hishamuddin) yang telah menjalankan tugas mengikut giliran dengan amanah dan dedikasi.

Kredit juga diberikan kepada Abang Yusuf yang konsisten sebagai Bilal Terawih.

Begitu juga PM Halim yang istiqamah menabur jasa melaungkan azan Maghrib setiap kali waktu berbuka.

Sumbangan Kak Siti sebagai 'penyelenggara' ruang solat wanita juga tidak dilupakan.

Di samping itu Jawatankuasa ingin mengucapkan syabas kepada jemaah yang datang mengimarahkan surau. Di kalangan mereka ada yang memberi sumbangan wang, sejadah dan moreh.

Harapan kami agar fenomena ini berterusan sehingga akhir Ramadhan dan SELEPASNYA.

Mudah-mudahan segala kebaikan yang dilakukan dicatat sebagai amalan soleh yang berkekalan pahalanya sehingga hari Qiamat.

Insya Allah.















Saturday, August 6, 2011

Pengumuman : Warga Vila Suria meninggal dunia

Assalamualaikum wrm wbh,

Haji Mat, bekas Pengarah JPJ telah kembali kerahmatullah pada pukul 1.30 pagi tadi. Marilah sama-sama kita mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama golongan solihin.Amin.

Justeru solat Jenazah akan diadakan di Surau Vila Suria pada pukul 11.00 pagi.

Semua muslimin dan muslimat dijemput hadir.

Wassalam.

Sunday, July 31, 2011

SELAMAT MENYAMBUT RAMADHAN AL-MUBARAK

Jawatankuasa Pembinaan Surau Vila Suria mengucapkan Selamat Menjalani Ibadah Puasa kepada semua penduduk yang beriman.

Moga-moga segala pahala amal ibadah yang kita lakukan di bulan ini dilipatgandakan oleh-Nya.

Muslimin dan muslimat sekalian,

Berbeza dengan tahun-tahun sebelumnya, tahun ini merupakan tahun yang bermakna kerana kita akan mendirikan solat Terawih di surau kita sendiri.

Di samping itu tazkirah terawih juga bakal disampaikan oleh para Ustaz sebagai pesanan buat kita yang sentiasa lalai. Insya Allah.

Justeru datanglah beramai-ramai ke surau.

Surau kita tanggungjawab kita.

Sunday, July 24, 2011

Kepada penduduk Vila Suria yang budiman dan dermawan....


Muslimin dan muslimat sekalian,

Jawatankuasa Pembinaan Surau Vila Suria sedang mengumpul dana untuk membina ruang solat untuk kaum wanita dengan keluasan 16 x 16 kaki, di kiri surau sementara.

Anggaran kos yang diperlukan ialah RM 2000.00.

Justeru surat memohon derma akan diedarkan kepada seluruh penduduk Vila Suria secepat yang mungkin.

Segala kerjasama yang bakal diberikan, kami dahului dengan jazakallah.

Sekian wassalam.

Monday, July 18, 2011

Menanti Ramadhan

"Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa".(Al-Baqarah 183)

Huraian ayat

“Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa….”

Ayat ini turun pada bulan Syaaban tahun kedua hijrah bersamaan 624 M. Ia merupakan perintah wajib daripada Allah SWT kepada orang-orang yang beriman. Mengingkari kefardhuan puasa hukumnya adalah murtad.

Firman Allah SWT,

“……sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu….”

Kalau dirujuk kepada sejarah ibada puasa, ia sebenarnya sudah diamalkan oleh umat-umat terdahulu. Sebagai contoh Nabi Nuh as berpuasa sepanjang tahun. Nabi Daud a.s pula berpuasa sehari dan berbuka sehari. Manakala Nabi Isa a.s berpuasa sehari dan berbuka satu atau dua hari.

Dalam sebuah riwayat menjelaskan bahawa umat Yahudi berpuasa pada setiap tanggal 10 Muharram, sebagai tanda bersyukur kepada Allah kerana telah menyelamatkan Nabi Musa a.s dari kezaliman Firaun. Berdasaarkan itu, Nabi SAW turut menggalakkan umatnya supaya berpuasa pada tanggal 9 dan 10 Muharram yang dikenal dengan puasa hari Asyura.

Firman-Nya di akhir ayat 183,

“……supaya kamu bertaqwa….”.

Dalam ayat ini Allah SWT menjelaskan hikmah puasa ialah taqwa. Nabi saw pernah bertanya kepada Abu Hurairah : “ Pernahkah engkau bertemu jalan yang berduri dan bagaimana tindakan engkau pada ketika itu ?” Jawab Abu Hurairah, “Apabila aku melihat duri. Aku akan menghindarkan diri ke tempat yang tidak berduri atau aku langkahi duri tersebut, atau aku undur”. Rasulullah pun bersabda :”Itulah dia taqwa”.

Dengan kata lain orang yang bertaqwa ialah mereka yang menyedari dan beringat dengan kehadiran Allah SWT pada dirinya sama ada ketika jaga mahupun tidur.

Wallahualam.

Saturday, June 25, 2011

CERAMAH ISRAK WAL MI'RAJ

Jawatankuasa Pembinaan Surau Vila Suria dengan segala hormatnya menjemput semua penduduk dan taman-taman sekitar menghadiri majlis Ceramah Israk Wal Mi'raj seperti butiran berikut :

Tarikh : 9 hb Julai 2011

Masa : Selepas solat Maghrib

Tempat : Surau sementara Vila Suria

Penceramah : Ybhg Al-Fadhil Ust Hapizi bin Mohamed Ali (Pen. Pengarah Operasi Dakwah Sektor Pendidikan Islam JPNS)


Semoga kehadiran tuan puan diberkati Allah SWT hendaknya.

Monday, June 13, 2011

Tazkirah : Mengelak dari seksa kubur

Setiap hari kubur semakin menghampiri

Umat Nabi Muhammad saw banyak kelebihannya. Antara kelebihan yang Allah SWT kurniakan ke atas umat akhir zaman ini ialah mereka yang sentiasa membaca surah al-Mulk pada setiap malam sebelum tidur, terlepas dari azab kubur.

Hal ini sabit dengan keterangan hadis sahih yang dikeluarkan oleh Imam Ahmad, Abu Daud, At-Tirmizi , Ibnu Majah dan ramai lagi yang menjelaskan kelebihan membaca surah al-Mulk.

Hadisnya berbunyi,

أن سورة ثلاثين أية شفعت فى صاحبها حتى غفرله تبارك الذى بيده
الملك وينجى من عذاب القبر


Maksudnya : "Sesungguhnya terdapat surah yang mengandungi tiga puluh ayat yang memberi syafaat kepada pembacanya sehingga diampunkan dosanya “ Maha Berkat Tuhan yang menguasai pemerintahan (dunia dan akhirat) ”. Dan ia menyelamatkan dari azab kubur".

Daripada Ibnu Mas’ud r.a, Nabi saw bersabda :

Barangsiapa yang membaca Tabarakal Lazi biyadihi Mulku …. Pada tiap-tiap malam, nescaya Allah akan memeliharanya dengan berkah surah ini daripada azab kubur.

Marilah kita berusaha untuk beramal dengannya.

Thursday, May 26, 2011

Tazkirah : Mengukuh ukhwah menjalin silaturrahim

'Indahnya perpaduan di Vila Suria'.(Gambar dari blog PPVS)

Islam menuntut umatnya agar hidup bersatu padu dan bekerjasama. Agama ini sama sekali tidak membenarkan penganutnya bersengketa apatah lagi memutuskan silaturrahim.

Para ulama sepakat mengatakan bahawa perbuatan memutus silaturrahim dan tidak bertegur sapa saudaranya lebih dari tiga hari hukumnya adalah haram dan berdosa besar.

Hal ini berdasarkan sebuah hadis yang dikeluarkan oleh Imam At-Tirmizi, diceritakan daripada seorang sahabat Nabi saw yang bernama Abu Ayyub Al-Ansari bahawasanya Nabi saw bersabda,

لا يحل لمسلم أن يهجر أخاه فوق ثلاث , يلتقيان فصد هذا ويصد هذا,
وخيرهما الذى يبداء بالسلام


Maksudnya : Tidak halal bagi seorang Islam itu tidak menegur sapa saudaranya lebih daripada tiga hari, berjumpa keduanya maka berpaling seorang ke tempat lain dan seorang lagi ketempatlain. Yang lebih baik daripada dua orang ini ialah siapa yang memulakan salam. (HR Tirmizi)

Betapa pentingnya memelihara perpaduan sehinggakan Islam mengharuskan untuk berbohong dalam mendamaikan dua orang yang sedang berkelahi.

Hal ini juga sabit dengan keterangan sebuah hadis daripada Ummi Kalthum binti Uqbah katanya,

عن أم كلثوم بنت عقبة قالت : سمعت رسول الله صلى الله عليه وسلم يقول : ليس بالكاذب من أصلح بين الناس فقال خيرا أو نمى خيرا


Maksudnya : Aku telah dengar Nabi saw bersabda, bukannya orang yang berbohong sesiapa yang membaikkan antara manusia yang berkelahi maka berkata ia baik atau dikatakannya baik. (HR Tirmizi)

Semoga tazkirah ini memberi manfaat buat kita semua.

Wallahualam.

Wallahualam

Tuesday, May 17, 2011

Mengetahui hak orang alim

Ubadah bin Shamit r.a meriwayatkan, bahwa Rasulullah saw bersabda,

لَيْسَ مِنْ أُمَّتِي مَنْ لَمْ يُجِلَّ كَبِيرَنَا وَيَرْحَمْ صَغِيرَنَا وَيَعْرِفْ لِعَالِمِنَا حَقَّهُ


Maksudnya : Bukan termasuk ummatku, siapa yang tidak memuliakan orang yang lebih tua, menyayangi orang yang lebih muda dan mengetahui hak-hak orang alim.

Antara hak orang alim ialah mendatangi mereka bagi mencari ilmu pengetahuan. Lapang-lapangkanlah masa, moga-moga Allah SWT melapangkan kita di padang Mahsyar kelak.

Wallahualam.

Tuesday, May 10, 2011

4 tanda kebahagiaan


Sabda Rasulullah saw,

أربع من السعادة المرأة الصالحة والمسكن الواسع والجار الصالح والمراكب الهنئ


Maksudnya : “4 perkara yang membawa kebahagiaan iaitu perempuan yang solehah, rumah yang luas, jiran yang baik dan kenderaan yang elok”.

Berdasarkan hadis ini, tanda kebahagiaan pertama ialah memiliki isteri yang solehah.Apabila dilihat,dia menyenangkan hati dan apabila ditinggalkan dia berupaya menjaga dirinya juga harta yang ditinggalkan.

Tanda kebahagiaan yang kedua ialah rumah yang luas, sehingga Rasulullah saw sering berdoa selepas solat,

اللهم اغفرلى ذنبي ووسع لي في داري وبارق لي في رزقي فقيل له ما أكثر ما تدعو بهذه الدعوات يا رسول الله ؟ فقال وهل تركن من شئ


Maksudnya : "Ya Allah ampunilah dosaku, luaskanlah rumahku, berilah keberkatan pada rezekiku. Kemudian baginda ditanya oleh sahabat : Mengapa doa ini yang banyak engkau baca ya Rasulullah ? Di jawab oleh Nabi saw, apakah ada sesuatu perkara lain yang lebih kamu sukai ?”.

Tanda kebahagiaan ketiga ialah jiran yang baik dan soleh kerana ia penting dalam mencapai keharmonian dan keselesaan hidup.

Tanda kebahagiaan yang keempat ialah kuda yang jinak yang menurut perintah tuannya, yang laju pecutannya serta berupaya membawa tuannya ke destinasi yang dituju. Zaman sekarang bolehlah ditafsirkan seperti kereta, motorsikal dan sebagainya.

Wallahualam.

Sunday, May 1, 2011

KULIAH SUBUH SEMPENA CUTI HARI PEKERJA

Assalamualaikum wrm wbh,

Muslimin dan muslimat dijemput hadir ke kuliah Subuh pada 2.5.2011. Penceramah ialah Prof. Madya Haji Halim Ramli, Pensyarah UITM Johor.

Sekian.

Friday, April 29, 2011

Sekitar aktiviti gotong royong : Terima kasih semua !

Aktiviti yang mengeratkan ukhwah

Alhamdulillah pada hari Ahad, 24hb April 2011, program gotong royong ‘menceriakan’ perkarangan surau sementara Vila Suria telah diadakan.

Program yang bermula seawal 8.00 pagi ini telah berjaya menghimpunkan seramai 25-30 orang penduduk.

Menambah kenalan

Antara kerja-kerja yang dilakukan pada hari tersebut ialah membersihkan perkarangan surau dari batu batu, menutup lubang, meratakan tanah dan memasang dua kipas angin sumbangan dari seorang warga Vila Suria.

Program tamat pada pukul 10.00 pagi. Sebelum bersurai para peserta telah menikmati jamuan ringan, tajaan dari penduduk Vila Suria yang budiman.

Tolong menolong

Akhir kata, tiada lafaz yang layak kami ucapkan melainkan :

Terima kasih semuanya, terima kasih atas segala sumbangan yang tuan-puan berikan.., moga-moga amalan kita diterima sebagai amal soleh yang diberi ganjaran pahala di sisi Allah SWT. Insya Allah.

Sumbangan anda dihargai

Menghilangkan kepenatan

Melentur buluh dari rebungnya

"Kita bakor aja..! kita bakor aja...!

Tuesday, April 26, 2011

KULIAH MAGHRIB DAN SUBUH

Assalamuaaikum wrm,

Kepada semua penghuni Vila Suria yang budiman.

Insya Allah, kuliah Maghrib di surau sementara Vila Suria akan diadakan pada setiap hari Ahad dan juga hari Selasa (minggu keempat).

Manakala kuliah Subuh pula akan diadakan pada setiap hari minggu.

Kuliah akan disampaikan oleh para ustaz di taman kita secara bergilir.

Sesiapa yang ingin bersedekah menyediakan jamuan sangat dialu-alukan.

Terima kasih.

Thursday, April 21, 2011

Pengumuman : Solat Subuh berjemaah dan gotong royong

Kenduri bacaan Yasin & Tahlil arwah Pak Mat di surau sementara Vila Suria

Assalamualaikum wrm wbh,

Kepada semua penghuni Vila Suria sekalian,

Aktiviti solat Maghrib dan Isyak berjemaah telah pun berjalan hampir seminggu lamanya di taman perumahan kita. Alhamdulillah dalam tempoh itu sekurang-kurangnya dua atau tiga saf jemaah telah berjaya didirikan.

Sapa menyapa bertanya khabar

Justeru Jawatankuasa Pembinaan Surau Vila Suria bercadang untuk meluaskan aktiviti dengan mengadakan solat Subuh berjemaah pula. Buat julung kalinya insya Allah program ini akan bermula pada hari Sabtu dan Ahad ini.

Manakala pada 24.4.2011 (Ahad), jam 8 pagi akan diadakan pula gotong royong mengecat dan membersihkan perkarangan surau sementara.

Antara kaum ibu yang turut hadir

Marilah sama-sama kita melapangkan diri pada setiap aktiviti yang dianjurkan, moga-moga Allah SWT melapangkan kubur kita di alam barzakh kelak.

Sekian.

Sunday, April 17, 2011

SUARA AZAN MULA BERKEMUNDANG !

Tempat memupuk perpaduan dan ukhwah

Syukur Alhamdulillah, buat julung kalinya suara azan telah berkemundang di Vila Suria pada tanggal 17.4.2011.

Beberapa orang penghuni (termasuk seorang wanita) telah 'merasmikan' penggunaan surau ini dengan mendirikan solat Isyak berjemaah.

Gotong royong memasang lampu

Justeru di masa-masa akan datang Jawatankuasa Pembinaan Surau Vila Suria menyeru para penghuni agar dapat meluangkan masa untuk bersama-sama mengimarahkan surau ini.

Buat masa sekarang aktiviti yang dianjurkan ialah solat Maghrib dan Isyak berjemaah, di samping bacaan Yasin dan tahlil pada setiap malam Jumaat.

Antara yang turut berjasa

Pihak Jawatankuasa sekali lagi mengalu-alukan derma wang ringgit dari orang ramai untuk membeli beberapa kelengkapan yang masih belum mencukupi.

Antaranya kipas dinding 4 buah, lampu spotlight dan kos penyelenggaran untuk memasukkan api dan air secara kekal yang mana jumlah keseluruhannya mencecah hampir RM 5000.00.

Sekian wassalam.

Saturday, April 16, 2011

GOTONG ROYONG


Assalamualaikum wrm wbh,

Kepada semua warga Vila Suria yang budiman,

Satu majlis gotong royong membersihkan halaman 'Surau Sementara' Vila Suria akan diadakan seperti butiran berikut :

Tarikh : 24. 4. 2011 - Ahad
Masa : 8.00 pagi


Tuan-tuan dijemput hadir beramai-ramai. Sesiapa yang ingin menaja jamuan sangat dialu-alukan.

Terima kasih.

Wednesday, April 13, 2011

MESYUARAT JAWATANKUASA PEMBINAAN SURAU VILA SURIA BIL 2/2011

Mesyuarat akan di adakan seperti berikut :

Tarikh : 15 April 2011
Masa : 9.00 malam
Tempat : Rumah En. Shamsuddin No 590, Jln A21 Vila Suria


Agenda mesyuarat amat penting bagi membincangkan perkembangan 'Surau Sementara' serta aktiviti.

Diharap semua AJK dapat hadir.

Saturday, April 9, 2011

Al-Fatihah - Pak Mat kembali kerahmatullah

Pak Mat di hujung sebelah kanan

Jawatankuasa Pembinaan Surau Vila Suria mengucapkan takziah kepada seluruh ahli keluarga Pak Mat di kediaman no 629 Vila Suria.

Pak Mat kembali kerahmatullah pada pukul 1.30 pagi, 9hb April 2011.

Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama gologan solehien. Amin.

Jenazahnya akan di bawa ke surau Hidayah Bandar Warisan Puteri untuk dimandi, dikafan dan disolatkan pagi ini.

Muslimin dan muslimat yang tidak bekerja dan berkesempatan sila hadir beramai-ramai.

Monday, April 4, 2011

Perkembangan Wakaf Pusat Kegiatan Aktiviti

Ada mihrab kecil untuk Imam

Menyerlahkan ciri binaan Melayu tradisional

Boleh memuatkan 30-40 orang jemaah

Pemasangan api dan air

Jawatankuasa Pembinaan Surau Vila Suria sedang berusaha untuk memasang api dan air secara legal di Wakaf ini.

Justeru sesiapa di kalangan penduduk yang mempunyai info tentang prosedur memasangnya serta anggaran kos yang berkaitan silalah berhubung dengan pihak Jawatankuasa dengan kadar segera.

Harap maklum.

Friday, April 1, 2011

Amalan memagar diri, rumah dan harta benda

BACA SURAH YASIN AYAT 1-9

Maksudnya : (1) Yaa Siin. (2) Demi Al Qur'an yang penuh hikmah, (3) sesungguhnya kamu salah seorang dari rasul-rasul, (4) (yang berada) di atas jalan yang lurus, (5) (sebagai wahyu) yang diturunkan oleh Yang Maha Perkasa lagi Maha Penyayang, (6) agar kamu memberi peringatan kepada kaum yang bapak-bapak mereka belum pernah diberi peringatan, karena itu mereka lalai.(7) Sesungguhnya telah pasti berlaku perkataan (ketentuan Allah) terhadap kebanyakan mereka, karena mereka tidak beriman. (8) Sesungguhnya Kami telah memasang belenggu di leher mereka, lalu tangan mereka (diangkat) ke dagu, maka karena itu mereka tertengadah. (9) Dan Kami adakan di hadapan mereka dinding dan di belakang mereka dinding (pula), dan Kami tutup (mata) mereka sehingga mereka tidak dapat melihat.

CARA

1. Untuk memagar diri, keluarga dan harta benda

2. Berdiri disatu penjuru rumah (katakan dihadapan rumah sebelah kanan) sambil menghadap penjuru rumah satu lagi iaitu dikiri rumah. Baca surah Al-fatihah diikuti Surah Yaasin ayat 1~9. Sambil baca, sambil berjalan menuju kepenjuru rumah satu lagi. (Ikut arah Tawaf Kaabah). Baca kombinasi ini di setiap penjuru iaitu sampai bertemu penjuru yang mula-mula. Jumlahnya 4 kali. Akhir sekali baca kombinasi ini sambil mengisyarat mendinding keseluruhan bumbung rumah.

Sumber rujukan : http://www.darussyifa.org/pertahanandiri2.php

Tuesday, March 29, 2011

Cadangan Nama Wakaf Pusat Kegiatan Aktiviti

Assalamualaikum wrm,

Kepada semua penduduk Vila Suria yang budiman. Didoakan semoga tuan/puan sihat wal'afiat dan dimurahkan rezeki hendaknya.

Alhamdulillah, Wakaf Pusat Kegiatan Aktiviti / Surau sementara di Vila Suria sudah pun siap 90 peratus.

Jawatankuasa Pembinaan Surau Vila Suria mengalu-alukan sebarang cadangan dari penduduk untuk menamakan Wakaf ini. Sebagai contoh :

1. Wakaf Nurul Iman
2. Wakaf Ukhwah
3. Surau sementara Vila Suria atau sebagainya.

Justeru, sesiapa di kalangan penduduk yang memiliki idea atau cadangan bolehlah majukan ke blog ini atau email kepada azzaharaziz@gmail.com.

Wassalam.

Thursday, March 24, 2011

Wakaf Pusat Kegiatan Aktiviti


Alhamdulillah, Wakaf Pusat Kegiatan Aktiviti sedang rancak dalam pembinaan dan insya Allah dijangka siap tidak berapa lama lagi.

Ia terletak di belakang tapak pembinaan Surau Vila Suria, setentang dengan rumah Ust Muharizal.

Pembinaannya adalah kekal dan tidak akan dirobohkan walaupun Surau Vila Suria telah siap dibina nanti.

Dengan wujudnya wakaf ini, penduduk Vila Suria boleh mengadakan pelbagai aktiviti yang mampu mengeratkan hubungan silaturrahim.

Sehubungan dengan itu Jawatankuasa Pembinaan Surau Vila Suria sangat mengalu-alukan bantuan derma dari orang ramai. No. akaun Jawatankuasa Pembinaan Surau ada di paparkan di blog ini.

Muslimin muslimat juga boleh berhubung terus dengan Ust Hj Azzahar bin Abd Aziz no H/P 0193322677 atau Bendahari En. Azmi no H/P 0167644863.

Segala jasa baik para penderma hanya Allah SWT sahaja yang layak membalasnya.

Sekian.

Sunday, March 20, 2011

Tahniah En. Norazmi Ahmad !

Jawatankuasa Pembinaan Surau Vila Suria ingin mengucapkan tahniah dan syabas di atas pemilihan En. Norazmi Ahmad (rumah no 612) sebagai Pengerusi Persatuan Pemilik Vila Suria yang baru.

Kami juga mengucapkan jutaan terima kasih yang tidak terhingga kepada Prof Madya Halim Ramli yang telah memimpin Persatuan ini selama setahun yang lalu.

Semoga segala khidmat dan jasa beliau dikira sebagai amalan soleh yang di beri ganjaran pahala oleh Allah SWT hendaknya.

Friday, March 4, 2011

PENGUMUMAN : CERAMAH MAULIDUR RASUL

TARIKH : 5HB MARCH 2011 - SABTU
MASA : SELEPAS SOLAT MAGHRIB
TEMPAT : SURAU AL-HIDAYAH BANDAR WARISAN PUTERI, SIKAMAT
PENCERAMAH : PROF MADYA DR HASNAN KASAN (PENSYARAH UKM)

MUSLIMIN DAN MUSLIMAT DIJEMPUT HADIR

Tuesday, February 1, 2011

Pengumuman - P.A System

P.A System milik JPSVS

Jawatankuasa Pembinaan Surau Vila Suria telah membeli sebuah P.A System untuk kegunaan aktiviti keagamaan di taman kita.

P.A System ini dilengkapi dengan mikrofon dan tiangnya, mikrofon tanpa wayar, pembesar suara dan wayar sepanjang 10 meter.

Kepada warga Vila Suria yang ingin menyewa untuk kegunaan kenduri kendara, majlis perkahwinan atau sebagainya bolehlah berhubung dengan Ybhg Al-Fadhil Ust Hj Azzahar di talian 019-3322677.