Sunday, July 31, 2011

SELAMAT MENYAMBUT RAMADHAN AL-MUBARAK

Jawatankuasa Pembinaan Surau Vila Suria mengucapkan Selamat Menjalani Ibadah Puasa kepada semua penduduk yang beriman.

Moga-moga segala pahala amal ibadah yang kita lakukan di bulan ini dilipatgandakan oleh-Nya.

Muslimin dan muslimat sekalian,

Berbeza dengan tahun-tahun sebelumnya, tahun ini merupakan tahun yang bermakna kerana kita akan mendirikan solat Terawih di surau kita sendiri.

Di samping itu tazkirah terawih juga bakal disampaikan oleh para Ustaz sebagai pesanan buat kita yang sentiasa lalai. Insya Allah.

Justeru datanglah beramai-ramai ke surau.

Surau kita tanggungjawab kita.

Sunday, July 24, 2011

Kepada penduduk Vila Suria yang budiman dan dermawan....


Muslimin dan muslimat sekalian,

Jawatankuasa Pembinaan Surau Vila Suria sedang mengumpul dana untuk membina ruang solat untuk kaum wanita dengan keluasan 16 x 16 kaki, di kiri surau sementara.

Anggaran kos yang diperlukan ialah RM 2000.00.

Justeru surat memohon derma akan diedarkan kepada seluruh penduduk Vila Suria secepat yang mungkin.

Segala kerjasama yang bakal diberikan, kami dahului dengan jazakallah.

Sekian wassalam.

Monday, July 18, 2011

Menanti Ramadhan

"Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa".(Al-Baqarah 183)

Huraian ayat

“Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa….”

Ayat ini turun pada bulan Syaaban tahun kedua hijrah bersamaan 624 M. Ia merupakan perintah wajib daripada Allah SWT kepada orang-orang yang beriman. Mengingkari kefardhuan puasa hukumnya adalah murtad.

Firman Allah SWT,

“……sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu….”

Kalau dirujuk kepada sejarah ibada puasa, ia sebenarnya sudah diamalkan oleh umat-umat terdahulu. Sebagai contoh Nabi Nuh as berpuasa sepanjang tahun. Nabi Daud a.s pula berpuasa sehari dan berbuka sehari. Manakala Nabi Isa a.s berpuasa sehari dan berbuka satu atau dua hari.

Dalam sebuah riwayat menjelaskan bahawa umat Yahudi berpuasa pada setiap tanggal 10 Muharram, sebagai tanda bersyukur kepada Allah kerana telah menyelamatkan Nabi Musa a.s dari kezaliman Firaun. Berdasaarkan itu, Nabi SAW turut menggalakkan umatnya supaya berpuasa pada tanggal 9 dan 10 Muharram yang dikenal dengan puasa hari Asyura.

Firman-Nya di akhir ayat 183,

“……supaya kamu bertaqwa….”.

Dalam ayat ini Allah SWT menjelaskan hikmah puasa ialah taqwa. Nabi saw pernah bertanya kepada Abu Hurairah : “ Pernahkah engkau bertemu jalan yang berduri dan bagaimana tindakan engkau pada ketika itu ?” Jawab Abu Hurairah, “Apabila aku melihat duri. Aku akan menghindarkan diri ke tempat yang tidak berduri atau aku langkahi duri tersebut, atau aku undur”. Rasulullah pun bersabda :”Itulah dia taqwa”.

Dengan kata lain orang yang bertaqwa ialah mereka yang menyedari dan beringat dengan kehadiran Allah SWT pada dirinya sama ada ketika jaga mahupun tidur.

Wallahualam.

Saturday, June 25, 2011

CERAMAH ISRAK WAL MI'RAJ

Jawatankuasa Pembinaan Surau Vila Suria dengan segala hormatnya menjemput semua penduduk dan taman-taman sekitar menghadiri majlis Ceramah Israk Wal Mi'raj seperti butiran berikut :

Tarikh : 9 hb Julai 2011

Masa : Selepas solat Maghrib

Tempat : Surau sementara Vila Suria

Penceramah : Ybhg Al-Fadhil Ust Hapizi bin Mohamed Ali (Pen. Pengarah Operasi Dakwah Sektor Pendidikan Islam JPNS)


Semoga kehadiran tuan puan diberkati Allah SWT hendaknya.

Monday, June 13, 2011

Tazkirah : Mengelak dari seksa kubur

Setiap hari kubur semakin menghampiri

Umat Nabi Muhammad saw banyak kelebihannya. Antara kelebihan yang Allah SWT kurniakan ke atas umat akhir zaman ini ialah mereka yang sentiasa membaca surah al-Mulk pada setiap malam sebelum tidur, terlepas dari azab kubur.

Hal ini sabit dengan keterangan hadis sahih yang dikeluarkan oleh Imam Ahmad, Abu Daud, At-Tirmizi , Ibnu Majah dan ramai lagi yang menjelaskan kelebihan membaca surah al-Mulk.

Hadisnya berbunyi,

أن سورة ثلاثين أية شفعت فى صاحبها حتى غفرله تبارك الذى بيده
الملك وينجى من عذاب القبر


Maksudnya : "Sesungguhnya terdapat surah yang mengandungi tiga puluh ayat yang memberi syafaat kepada pembacanya sehingga diampunkan dosanya “ Maha Berkat Tuhan yang menguasai pemerintahan (dunia dan akhirat) ”. Dan ia menyelamatkan dari azab kubur".

Daripada Ibnu Mas’ud r.a, Nabi saw bersabda :

Barangsiapa yang membaca Tabarakal Lazi biyadihi Mulku …. Pada tiap-tiap malam, nescaya Allah akan memeliharanya dengan berkah surah ini daripada azab kubur.

Marilah kita berusaha untuk beramal dengannya.

Thursday, May 26, 2011

Tazkirah : Mengukuh ukhwah menjalin silaturrahim

'Indahnya perpaduan di Vila Suria'.(Gambar dari blog PPVS)

Islam menuntut umatnya agar hidup bersatu padu dan bekerjasama. Agama ini sama sekali tidak membenarkan penganutnya bersengketa apatah lagi memutuskan silaturrahim.

Para ulama sepakat mengatakan bahawa perbuatan memutus silaturrahim dan tidak bertegur sapa saudaranya lebih dari tiga hari hukumnya adalah haram dan berdosa besar.

Hal ini berdasarkan sebuah hadis yang dikeluarkan oleh Imam At-Tirmizi, diceritakan daripada seorang sahabat Nabi saw yang bernama Abu Ayyub Al-Ansari bahawasanya Nabi saw bersabda,

لا يحل لمسلم أن يهجر أخاه فوق ثلاث , يلتقيان فصد هذا ويصد هذا,
وخيرهما الذى يبداء بالسلام


Maksudnya : Tidak halal bagi seorang Islam itu tidak menegur sapa saudaranya lebih daripada tiga hari, berjumpa keduanya maka berpaling seorang ke tempat lain dan seorang lagi ketempatlain. Yang lebih baik daripada dua orang ini ialah siapa yang memulakan salam. (HR Tirmizi)

Betapa pentingnya memelihara perpaduan sehinggakan Islam mengharuskan untuk berbohong dalam mendamaikan dua orang yang sedang berkelahi.

Hal ini juga sabit dengan keterangan sebuah hadis daripada Ummi Kalthum binti Uqbah katanya,

عن أم كلثوم بنت عقبة قالت : سمعت رسول الله صلى الله عليه وسلم يقول : ليس بالكاذب من أصلح بين الناس فقال خيرا أو نمى خيرا


Maksudnya : Aku telah dengar Nabi saw bersabda, bukannya orang yang berbohong sesiapa yang membaikkan antara manusia yang berkelahi maka berkata ia baik atau dikatakannya baik. (HR Tirmizi)

Semoga tazkirah ini memberi manfaat buat kita semua.

Wallahualam.

Wallahualam

Tuesday, May 17, 2011

Mengetahui hak orang alim

Ubadah bin Shamit r.a meriwayatkan, bahwa Rasulullah saw bersabda,

لَيْسَ مِنْ أُمَّتِي مَنْ لَمْ يُجِلَّ كَبِيرَنَا وَيَرْحَمْ صَغِيرَنَا وَيَعْرِفْ لِعَالِمِنَا حَقَّهُ


Maksudnya : Bukan termasuk ummatku, siapa yang tidak memuliakan orang yang lebih tua, menyayangi orang yang lebih muda dan mengetahui hak-hak orang alim.

Antara hak orang alim ialah mendatangi mereka bagi mencari ilmu pengetahuan. Lapang-lapangkanlah masa, moga-moga Allah SWT melapangkan kita di padang Mahsyar kelak.

Wallahualam.