Saturday, November 26, 2011

Salam Maal Hijrah 1433

Jawatankuasa Pembinaan Surau Vila Suria mengucapakan Selamat Menyambut Tahu Baru Hijrah 1433.

Mudah-mudahan tahun baru ini memberi keberkatan, kesentosaan dan kebahagiaan buat kita semua.

Insya Allah.

Thursday, November 17, 2011

Takziah buat En. Zafinal Azma dan isteri

Jawatankuasa Pembinaan Surau Vila Suria mengucapkan takziah kepada En. Zafinal Azma dan isterinya Pn. Azlina (No 619) di atas kematian putera sulongnya yang berusia 4 tahun hari ini.

“Ya Allah.., jadikanlah kanak-kanak yang mati ini sebagai suatu pendahuluan, sebagai simpanan pahala, sebagai suatu penasihat dan sebagai pengajaran serta pertolongan bagi kedua-dua ibubapanya. Ya Allah beratkanlah timbangan pahala untuk mereka berdua dengan sebab kematiannya. Curahkanlah rasa kesabaran, janganlah Engkau rosakkan iman mereka kerana ketiadaannya dan janganlah Engkau sekatkan ganjaran pahala buat mereka selama-lamanya …Amiinnn”

Monday, November 7, 2011

Ibadah korban mengeratkan ukhwah

Gotong royong ibadah korban

Jamuan tengah hari berlaukkan daging korban

Alhamdulillah,hari ini ibadah korban telah berjaya dilaksanakan dengan jayanya di Vila Suria.

Jawatankuasa Pembinaan Surau Vila Suria ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam gotong royong melapah, menyiang, mengagih daging dan juga memasak.

Setiap sumbangan yang tuan puan berikan sama ada keringat, wang ringgit dan masa hanya Allah SWT sahaja yang layak membalasnya.

Terima kasih juga kepada ‘Pak Chad’, jemaah surau Hidayah Bandar Warisan Puteri kerana sudi memberi sedikit tunjuk ajar tentang proses ‘mengulit’ dan mengeluarkan perut.

Sesungguhnya ibadah korban ini telah berjaya memupuk ukhwah sesama jiran.

Syukur.

Wednesday, October 26, 2011

Lembu yang bakal dikorbankan di Vila Suria

Lembu pertama untuk Vila Suria

Lembu kedua untuk Vila Suria

Harga kami ialah RM 2500.00 seekor, termasuk transport.Insya Allah, nanti kami akan sampai di Vila Suria pada 6hb November 2011 selepas Asar.

Jangan lupa sediakan rumput untuk kami....

Thursday, October 20, 2011

Program Hari Raya Korban 1432 H

Assalamualaikum wrm wbh,

Muslimin dan muslimat para penduduk yang dihormati sekalian,

Jawatankuasa Pembinaan Surau Vila Suria yang bermesyuarat baru-baru ini telah merancang untuk mengadakan aktiviti Hari Raya Korban seperti butiran berikut :

1. Takbir Raya

Takbir raya akan diadakan selepas solat Isyak diikuti dengan tahlil serta sedikit jamuan. Kami mengalu-alukan sumbangan makanan dari penduduk.

2. Solat Hari Raya Aidil Adha

Solat Hari Raya Aidil Adha akan diadakan di surau pada jam 8.30 pagi. Semua penduduk dijemput hadir beramai-ramai.

3. Program Korban

Insya Allah tahun ini sembelihan korban akan diadakan pada Hari Raya kedua bermula jam 7.00 pagi.Sebanyak 2 ekor lembu bakal disembelih. Tuan-tuan dijemput hadir untuk membantu apa-apa yang patut. Berat sama di pikul, ringan sama dijinjing.

Bagi melancarkan majlis satu gotong royong akan diadakan pada hari Ahad, 30 Oktober 2011 masa 8.30 pagi.

Surat makluman akan diedarkan tidak berapa lagi.

Sekian, wassalam.

Saturday, October 8, 2011

Pengumuman - Ibadah Korban di Vila Suria


Jawatankuasa Pembinaan Surau Vila Suria mempelawa penduduk Taman dan sekitar untuk menyertai ibadah korban sempena Hari Raya Aidil Adha yang bakal menjelang.

Harga satu bahagian ialah RM380.00. (Jika ada perubahan akan dimaklumkan)

Jika berminat sila hubungi Ybhg Ustaz Haji Azzahar : 0193322677 atau Ust Hishamuddin 019 6404133 selewat-lewatnya hari Khamis 13 hb Oktober 2011.

Harap maklum.

Friday, September 2, 2011

Tazkirah Syawal

Muslimin dan muslimat sekalian,

Bulan Ramadhan telah pun berlalu. Adalah lumrah bagi para sahabat Rasulullah saw serta mukmin yang hakiki, mereka akan menyambut bulan Ramadhan dengan hati yang syukur serta melepaskannya dengan hati yang sayu dan sedih, penuh rasa bersalah serta bimbang jika tidak sempat menemui bulan Ramadhan pada tahun yang berikutnya.

Mereka khuatir jika segala ibadah yang mereka lakukan di bulan Ramadhan masih gagal menebus dosa-dosa mereka yang lalu, pendekata gagal mendapat keampunan daripada Allah SWT. Dalam hal ini Rasulullah saw,

ويل لمن أدرك رمضان فلم يغفر له

Maksudnya : Neraka Waillah, bagi mereka yang berkesempatan di bulan Ramadhan sedangkan dia tidak mendapat keampunan daripada Allah SWT.

Manakala bagi orang mukmin yang hatinya berpenyakit, mereka akan menyambut bulan Ramadhan dengan hati yang kecewa, kecewa kerana terpaksa meninggalkan nikmat makan dan minum serta syahwat, kecewa kerana terpaksa berpuasa selama sebulan, pendekata puasa bagi mereka tidak mempunyai apa-apa erti bahkan dianggap sebagai satu bulan penyeksaan, justeru mereka tidak sabar-sabar menanti kedatangan Syawal, apabila Syawal menjelma mereka akan gembira dan seronok, kerana segala bentuk penyeksaan yang mereka lalui selama sebulan telah pun berakhir.

Golongan yang berpuasa kerana terpaksa inilah yang disebut oleh Rasulullah saw,

كم من صائم ليس له من صيامه الا الجوع والعطس

Maksudnya : Berapa ramai orang yang berpuasa, tetapi tidak mendapat apa-apa daripada ibadah puasanya melainkan hanyalah lapar dan dahaga.

Muslimin dan muslimat sekalian,

Hidupkanlah suasana Hari Raya ini dengan amalan ziarah menziarahi sesama Islam, bermula menziarahi ibu bapa serta orang-orang yang lebih tua di kalangan keluarga kita, diikuti dengan kaum kerabat, sanak saudara, jiran-jiran serta sahabat handai. Malah disebut dalam sepotong hadis sahih bahawa amalan ziarah menziarahi ini akan membawa keberkatan dalam hidup serta memanjangkan umur. Nabi saw bersabda,

“Barangsiapa yang mahu rezekinya bertambah, usianya dipanjangkan maka hendaklah dia menghubungi rahimnya .”

Bagi mereka yang sudah kematian ayah dan ibu, ziarahilah kaum kerabat mereka, baik di sebelah arwah ayah mahupun di sebelah arwah ibu, dan juga ziarahilah sahabat handai mereka kerana Rasulullah saw pernah ditanya oleh seorang sahabat, bagaimanakah mahu membuat kebaikan kepada ibubapa yang telah meninggal dunia ya Rasulullah ? Jawab baginda, Hendaklah kamu memperbanyakkan doa dan istighfar untuk mereka, tunaikan wasiat mereka, hubungkan silaturrahim dengan orang-orang yang tidak sampai hubungan kamu dengan mereka melainkan dengan perantaraan ibubapa kamu dan muliakanlah sahabat handai mereka yang masih hidup.

Dalam kita ziarah menziarahi, berhati-hatilah ketika membawa kenderaan. Janganlah tergesa-gesa mahu segera sampai, kerana sifat tergesa-gesa itu adalah daripada syaitan. Ingatlah Allah ketika memandu, ingatlah isteri dan anak-anak, ingatlah orang yang tersayang di kalangan ibu bapa dan saudara mara, sesungguhnya nyawa kita amat berharga di sisi orang yang tersayang.

Eid Mubarak ! dari Jawatankuasa Pembinaan surau Vila Suria.

Wallahualam.