Friday, July 20, 2012

PERUTUSAN KHAS RAMADHAN 1433 H


Assalamualaikum wrm wbh. 

Jiran-jiran warga Vila Suria Warisan Puteri Sikamat yang dimuliakan, 

Bulan Ramadhan mengingatkan kita kepada kematian. Setiap tahun kita bertemu Ramadhan, maka setiap tahunlah umur kita turut bertambah dan semakin hampirlah kita kepada alam barzakh.

Justeru bulan Ramadhan ialah bulan yang cukup baik untuk kita bermuhasabah tentang segala amalan yang kita lakukan di dunia ini.

Jika kita ada melakukan kesalahan dan dosa maka inilah bulan yang perlu kita manfaatkan semaksimum untuk memohon keampunan daripada-Nya.

Ramadhan merupakan bulan Maghfirah, lambang kasih sayang Allah SWT kepada hamba-hamba-Nya. Allah tidak mahu mengazab hamba-hamba-Nya di atas dosa yang telah mereka lakukan. Lalu diturunkan bulan ini supaya hamba-hambaNya yang berdosa kembali kepada-Nya.

Justeru amatlah rugi bagi mukmin yang bertemu dengan bulan Ramadhan tetapi gagal mengambil peluang untuk menebus dosa-dosa yang dilakukan seperti mana sabda junjungan Rasul,

Sesungguhnya Jibrail (as) telah membisikkan (doa) kepadaku, katanya: Celakalah orang yang mendapati bulan Ramadhan tetapi dosanya tidak juga diampun…”(HR Hakim)

Jiran-jiran sekalian, 

Ramadhan membentuk insan yang bertaqwa. Ramadhan mengajar kita siapa diri kita yang sebenar. Tidak kira tua atau muda, miskin atau kaya, berkereta besar atau kecil, apabila tibanya bulan ini,  kita semua akan merasa lapar serta dahaga. 

Oleh itu usah berbangga dengan harta yang dimilki kerana harta itu tidak mampu membeli sebuah kebahagiaan. Banyak orang yang berharta tetapi jiwanya gelisah, tidak puas, malah kadang-kadang timbul perasaan tamak di dalam diri. Jiwa mereka sebenarnya sedang merana. 

Jadilah seperti Usman bin Affan atau Abdul Rahman bin Auf, lagi banyak harta yang dimiliki lagi hebat ibadah dan taqwanya kepada Allah SWT.  

Jiran-jiran yang dikasihi sekalian, 

Sudah hampir dua tahun surau Vila Suria didirikan. Justeru marilah sama-sama kita lapangkan masa menjenguk rumah Allah di taman kita. Walaupun ada yang seronok beribadat di Masjid, tetapi surau kita jangan dipinggirkan. Jika tidak boleh datang setiap hari, datanglah seminggu sekali atau pun dua minggu sekali. Janganlah langsung tidak pernah menghadirkan diri. 

Kita perlu sedar, apabila ajal menjemput, jiran-jiran dan jemaah terdekatlah yang akan bersusah payah menguruskan jenazah kita. Demikianlah pentingnya untuk beramah mesra dengan jemaah di surau taman yang di diami.  

Akhir kata Jawatankuasa Pembinaan Surau Vila Suria mengucapkan Ramadhan Kareem kepada semua penganut Islam di taman yang permai ini. 

No comments:

Post a Comment